Kitab Ibatul Ahkam bag 1

Kitab Ibatul Ahkam Syarh Bulughul Maram Bab 1 Bagian Pertama
Assalamu 'alaikum war.wab.

Kitab Thaharah (1)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْبَحْرِ هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ الْحِلُّ مَيْتَتُهُ أَخْرَجَهُ الْأَرْبَعَةُ وَابْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَاللَّفْظُ لَهُ وَصَحَّحَهُ ابْنُ خُزَيْمَةَ وَالتِّرْمِذِيُّ وَرَوَاهُ مَالِكٌ وَالشَّافِعِيُّ وَأَحْمَدُ

Dari Abu Hurairah (r.a) bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda mengenai laut: “Laut itu airnya suci lagi menyucikan, halal bangkainya.” (Disebutkan oleh al-Arba‟ah dan Ibn Abu Syaibah, sedangkan lafaznya menurut riwayat Ibn Abu Syaibah. Ibn Khuzaimah dan Imam al-Tirmizi menilainya sebagai sahih. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Malik, Imam al-Syafi‟i, dan Imam Ahmad)

Makna Hadis

Hadis ini merupakan salah satu asas bersuci yang mengandungi banyak hukum dan kaedah penting. Di dalam laut banyak terdapat haiwan yang kadang kala ada yang mati, sedangkan hukum bangkainya pula adalah najis. Rasulullah (s.a.w) memberitahu mereka bahawa hukum bangkai jenis ini berbeza dengan bangkai-bangkai yang selainnya. Baginda menegaskan demikian agar mereka tidak berprasangka bahawa air laut menjadi najis kerana ada bangkai haiwan laut yang mati di dalamnya, dan supaya mereka tidak mempunyai anggapan bahawa bangkai haiwan laut itu najis.

Dapat disimpulkan bahawa hadis ini merupakan jawapan ke atas soalan seorang sahabat yang bertanya dengan konteks seperti berikut: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami biasa menggunakan jalan laut dan kami hanya mampu membawa sedikit air tawar. Apabila air tawar yang kami bawa itu digunakan untuk berwuduk, nescaya kami akan kehausan, bolehkah kami berwuduk dengan menggunakan air laut?” Kemudian Rasulullah (s.a.w) memberikan pemahaman kepada mereka bahawa air laut itu suci lagi menyucikan (dapat digunakan untuk bersuci). Nabi (s.a.w) menambahkan hukum lain yang tidak ditanyakan, padahal itu semestinya turut ditanya namun tidak ditanya kerana kedudukan hukumnya yang tersembunyi. Hal tersebut ialah bangkai haiwan yang ada di dalam laut adalah halal dan tidak perlu disembelih lagi.

Analisis Lafaz

“الكتاب ” menurut bahasa adalah himpunan dan kumpulan, sedangkan menurut istilah pula adalah nama kepada sejumlah pemasalahan ilmiah yang pada kebiasaannya terdiri daripada beberapa bab, beberapa fasal, dan beberapa masalah penting lain.

“الطهار ”, menurut bahasa adalah kebersihan dan bebas dari segala kotoran, sedangkan menurut syarak pula ialah gambaran hukum yang pengertiannya menunjukkan bebas daripada hadas dan najis.

“الباب ”, menurut bahasa adalah tempat untuk masuk dan keluar, sedangkan menurut istilah dalam kitab ini pula adalah kata kiasan. Pengertian menyelami sesebuah permasalahan khusus diserupakan dengan memasuki tempat yang bersifat inderawi, kemudian digunakan perkataan “الباب” (pintu) yang bermaksud nama sebuah himpunan permasalahan ilmiah, memandangkan adanya kaitan tertentu antara kedua-dua pengertian tersebut.

“المياه ”, bentuk jamak “الماء ” manakala bentuk asalnya adalah "موه"Oleh itu, huruf ha‟ dikekalkan ketika dalam bentuk jamak, sebab bentuk jamak mengembalikan segala sesuatu kepada bentuk asal katanya. Pengertian lafaz “ماء” ialah nama jenis yang pengertiannya mencakupi sesuatu yang sedikit dan sesuatu yang banyak. Manakala maknanya pula ialah benda cair yang jernih atau bening yang dilihat berwarna mengikuti warna wadahnya, iaitu air.

“نركب البحر ”, kami biasa menaiki laut, maksudnya memakai jalan laut dengan naik perahu. Pengertian al-bahr dalam hadis ini ialah air laut bukannya air danau besar atau sungai besar yang juga termasuk ke dalam pe-ngertian ini. Dikatakan demikian kerana itulah yang ditanyakan memandangkan rasanya asin, pahit dan berbau anyir.

“نحمل معنا القليل من الماء ”, sedangkan kami hanya membawa sedikit persediaan air, maksudnya air tawar.
“عطشنا”, nescaya kami akan mengalami kehausan kerana air tawar kami habis digunakan untuk bersuci.
“افنتو ضابه”, Bolehkah kami berwuduk dengan menggunakan air laut? Huruf fa‟ adalah huruf „athaf yang berkaitan dengan lafaz yang tidak disebutkan; bentuk lengkapnya ialah “اهو طهور فنتو ضابه؟ ” Ertinya “apakah air laut itu suci lagi menyucikan, lalu kami dapat berwuduk dengannya?” Sesungguhnya mereka tidak berani bersuci menggunakan air laut lantaran adanya alasan-alasan tadi, iaitu kerana airnya asin, pahit, dan berbau hanyir. Air yang memiliki ciri-ciri seperti itu tidak dapat diminum, lalu mereka meyakini bahwa air yang tidak dapat diminum juga tidak dapat digunakan untuk bersuci.

“هوالطهور ماؤه”, air laut itu suci lagi menyucikan. Menyebut lafaz “ ماؤه ” memastikan bahawa dhamir yang ada pada lafaz “ هو ” merujuk kepada laut (al-bahr). Dhamir “ هو ” berkedudukan sebagai mubtada' ; lafaz “ الطهور” berkedudukan sebagai mubtada' yang kedua, dan lafaz “ماؤه ” menjadi khabar kepada mubtada‟ yang kedua, sedangkan jumlah yang terdiri daripada mubtada' kedua dengan khabar-nya berkedudukan sebagai khabar kepada mubtada' yang pertama. Mubtada‟ dan khabar semuanya dalam bentuk ma'rifah; ungkapan seperti ini menunjukkan makna qasr, iaitu qasr sifat ke atas mausuf, apabila ditinjau dari segi mukhathab dinamakan qasr ta‟yin (penentuan). Ini kerana orang yang bertanya merasa ragu sama boleh atau tidak berwuduk dengan air laut, lalu Rasulullah (s.a.w) menentukan bahwa berwuduk dengan air laut itu adalah dibolehkan menerusi sabdanya: “Laut itu airnya suci lagi menyucikan.”

“ الحل ميتته ”, yakni halal bangkai haiwannya meskipun tanpa disembelih. Kalimat ini tidak di-„athaf-kan kepada kalimat sebelumnya kerana adanya munasabah (kaitan) di antara kedua-dua kalimat dalam hukum dan jika menggunakan „athaf akan memberikan pengertian yang berlainanan.

Fiqh Hadis.

1. Orang yang tidak mengetahui suatu permasalahan dikehendaki menanyakannya kepada orang yang berilmu.
2. Dibolehkan menggunakan laut sebagai alat pengangkutan meskipun bukan untuk tujuan ibadah, karena si penanya sudah terbiasa menggunakan jalan laut untuk menangkap ikan.
3. Apabila khuatir akan mengalami kehausan, dibolehkan tidak menggunakan air minum untuk bersuci kerana adanya pengakuan daripada Rasulullah (s.a.w) terhadap si penanya untuk menjimat air minum dan tidak menggunakannya untuk bersuci.
4. Air laut suci lagi menyucikan dengan pengertian dapat menghilangkan hadas dan dapat membersihkan najis atau kotoran. Ikan tidak perlu disembelih kerana syariat telah menghalalkan bangkainya sama dengan ikan haiwan laut yang lain.
5. Halal memakan bangkai haiwan laut yang hanya hidup di dalamnya.
6. Dibolehkan menjawab lebih banyak daripada pertanyaan yang diajukan bagi menyempurnakan faedah dan untuk memberikan pengetahuan berkaitan perkara yang tidak ditanyakan.

Periwayat Hadis

Orang yang meriwayatkan hadis ini ialah Abu Hurairah (r.a), nama aslinya adalah „Abdurrahman ibn Shakhr al-Yamani al-Dausi. Beliau masuk Islam pada tahun ke-7 Hijriah dan meriwayatkan sebanyak 5,374 hadis dan termasuk sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis. Beliau meninggal dunia pada tahun 59 Hijriah dengan usia 78 tahun dan dikebumikan di Madinah.

Orang yang Menyebutkan Hadis
Mereka adalah al-Arba‟ah, iaitu Abu Dawud, al-Nasa‟i, al-Tirmizi, dan Ibn Majah. Ibn Abu Syaibah, nama aslinya adalah Abu Bakar „Abdullah ibn Abu Syaibah, penulis kitab al-Musnad. Beliau adalah salah seorang di antara guru Imam al-Bukhari, Imam Abu Dawud dan Imam Ibn Majah. Al-Dzahabi mengatakan bahawa beliau adalah al-Hafiz yang tiada duanya dan orang yang dapat dijadikan sebagai rujukan di samping sangat „alim.
Ibn Khuzaimah, nama aslinya ialah al-Hafiz al-Kabir Imam al-A‟immah Syeikh al-Islam Abu Bakar Muhammad ibn Ishaq ibn Khuzaimah. Keimanan dan kedudukan al-Hafiz pada zamannya di Khurrasan sememangnya ada dalam genggaman tangannya.

Imam Malik ibn Anas ibn Malik ibn Anas al-Ashbahi al-Himyari dan julukannya adalah Abu „Abdullah al-Madani. Beliau adalah salah seorang tokoh Islam, imam kepada para imam, dan imam kota Hijrah (Madinah). Imam al-Syafi‟i banyak mengambil ilmu daripadanya. Imam al-Syafi‟i berkata: “Imam Malik adalah Hujjatullah ke atas makhluk-Nya setelah para tabi‟in.” Beliau mengambil riwayat daripada Nafi‟ -pembantu Ibn „Umar- dan al-Zuhri serta lain-lain dari kalangan tabi‟in dan para pengikut tabi‟in. Dilahirkan pada tahun 95 Hijriah dan meninggal dunia pada tahun 179 Hijriah dalam umur 84 tahun dan dikebumikan di al-Baqi‟.

Imam al-Syafi‟i, nama julukannya iaitu Abu „Abdullah, sedangkan nama aslinya adalah Muhammad ibn Idris ibn al-„Abbas ibn „Utsman al-Qurasyi al-Mutthalibi al-Hijazi al-Makki dan nasabnya berjumpa dengan nasab Rasulullah (s.a.w) pada „Abd Manaf. Beliau dilahirkan pada tahun 150 Hijriah di Ghazzah dan menurut satu pendapat di „Asqalan, hidup sebagai anak yatim di bawah asuhan ibunya dalam kehidupan yang serba sederhana dan keadaan yang susah. Sejak kecil, beliau belajar kepada ramai ulama. Beliau meninggalkan kota Mekah menuju Madinah untuk belajar kepada Imam Malik. Beliau kemudian berangkat ke Iraq hingga namanya terkenal di seluruh negeri Islam. Setelah itu, beliau berangkat menuju Mesir pada tahun 199 Hijriah dan meninggal dunia di Mesir pada tahun 204 Hijriah, dalam usia 54 tahun dan dikebumikan di Mesir.

Insya Allah, brsmbung..

Wassalamu 'alaikum war.wab.